Pengakap Lahad Datu
  Berita l News
 

Mat rempit diajak sertai pengakap banteras gejala sosial (UTUSAN)
PPD IT on 04/01/2008 at 12:53pm (UTC)
 Mat rempit diajak sertai pengakap banteras gejala sosial
MELAKA 20 Nov. – Seorang pengakap veteran, Abu Bakar Mohamed, 78, mengajak golongan muda khususnya mat rempit supaya menyertai pasukan pengakap dalam usaha membantu kerajaan menangani gejala sosial di negara ini.

Menurutnya, penyertaan dalam pasukan pengakap dapat membina sahsiah yang baik dalam diri golongan muda sekali gus mengelakkan mereka daripada mudah terpengaruh dengan gejala negatif seperti lumba haram.

Katanya, pasukan pengakap sentiasa menggalakkan pengembangan budaya dan nilai-nilai murni di kalangan ahlinya dengan mengajak mereka untuk menjadi seorang yang berdisiplin, semangat berpasukan dan memupuk perasaan kasih sayang antara satu sama lain.

Dengan semangat ingin berbakti dan perasaan kasih sayang itulah jelas Abu Bakar, beliau masih aktif dalam pasukan pengakap walaupun telah lanjut usia dan lumpuh sejak tahun 1992.

“Selama menyertai pasukan pengakap iaitu sejak tahun 1946 di Sekolah Tinggi Segamat, Johor, saya tidak pernah menyesal, sebaliknya berbangga menjadi ahli pasukan ini.

‘‘Banyak aktiviti yang diadakan menerusi pasukan ini termasuk dalam memberi bantuan, sumbangan dan khidmat bakti kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Bintang dan Pingat Persekutuan Pengakap Malaysia peringkat kebangsaan di Dewan Seri Negeri di sini, hari ini.
 

Sukarelawan berlumba membantu (UTUSAN)
PPD IT on 04/01/2008 at 12:52pm (UTC)
 Sukarelawan berlumba membantu
KUALA LUMPUR 15 Jan. – Pelbagai pihak kini tampil memberikan bantuan sukarela dan barangan kepada mangsa-mangsa banjir di Johor.

Antara yang menghantar sukarelawan ke negeri itu termasuk Yayasan Salam, Kelab Lion Malaysia, Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM), Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia), Medic Asia, Persekutuan Pengakap Malaysia, Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Yayasan Salam, misalnya, akan menghantar 100 sukarelawan ke Johor pada Jumaat ini untuk membantu dan membawa sumbangan barangan kepada mangsa-mangsa banjir.

Pengarah Eksekutifnya, Ghani Ibrahim berkata, sukarelawan yayasan itu terdiri daripada doktor, jururawat dan pelajar yang boleh menyumbang tenaga dalam bentuk menyelamat, logistik, kaunseling, memasak serta memandu kenderaan air.

Barangan sumbangan yang akan dibawa ialah bahan makanan, pakaian, bot, alat tulis, lampin bayi dan susu tepung.

‘‘Usaha ini akan dilakukan bersama lapan rakan korporat kami termasuk Malaysian Airlines System Berhad (MAS), Nationwide Express dan Microsoft yang akan bermesyuarat pada 17 Januari ini.

‘‘Orang ramai turut digesa menyumbangkan tenaga mereka, sama ada sebagai sukarelawan ataupun dalam bentuk barangan, bagi menjayakan misi ini,’’ katanya.

Ghani berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Sejak banjir melanda Johor pada 19 Disember lalu, Kelab Lion Malaysia telah menghantar lebih 1,000 sukarelawan ke negeri itu.

Pengerusi kelab itu, Ng Kim Leng berkata, ketika banjir berlaku, pertubuhan itu telah menyewa bot dan sampan untuk menyelamatkan mangsa-mangsa yang terperangkap.

‘‘Kami berjaya menyelamatkan lebih daripada 100 nyawa dalam bencana ini,’’ ujarnya.

Kelab Lion Malaysia turut membekalkan makanan dan peralatan sekolah kepada mangsa banjir.

PBSM telah menghantar 80 anggota sukarelawan ke daerah-daerah yang dilanda banjir di Johor.

Pengarah Operasi Bantuan Banjir pertubuhan itu, Kamal Omar berkata, 80 anggota yang dihantar itu masing-masing dikumpulkan dari Pulau Pinang, Kedah dan Kuala Lumpur.

Katanya, sukarelawan dari Perlis, bagaimanapun, kini ditempatkan di Kuala Lumpur sebagai persediaan menghadapi banjir yang mungkin melanda ibu negara, Selangor dan Pahang.

‘‘Sukarelawan PBSM bertaburan di kawasan banjir seperti Kota Tinggi, Batu Pahat dan Kluang,’’ katanya.

Dalam pada itu, Mercy Malaysia juga tidak ketinggalan menghantar sukarelawannya ke kawasan bencana banjir di Johor.

Menurut jurucakapnya, Ashrafiqin Ahmad, sebelas orang pegawai perubatan dan 10 lagi sukarelawan bukan perubatan telah dihantar ke Johor.

Ketua Pesuruhjaya Pengakap Kebangsaan, Kolonel Profesor Datuk Dr. Kamaruddin Kachar pula menerangkan, kini terdapat 100 pengakap kelana sedang menjalankan tugas-tugas sukarelawan membantu mangsa di pusat-pusat pemindahan banjir tetapi jumlah tersebut tidak mencukupi.

Beliau berkata, Persekutuan Pengakap Malaysia membuka peluang kepada pengakap kelana yang masih belum mempunyai sebarang komitmen kerja atau mengikuti pengajian di mana-mana universiti agar mendaftar sebagai sukarelawan
 

40 Pengakap Malaysia kibar bendera di puncak Kinabalu(UTUSAN)
PPD IT on 04/01/2008 at 12:50pm (UTC)
 40 Pengakap Malaysia kibar bendera di puncak Kinabalu
RANAU 1 Ogos – Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) yang disertai 40 ahli dari seluruh negara berjaya mengibarkan Bendera Pengakap Dunia di puncak Gunung Kinabalu, tepat pada pukul 6 pagi ini.

Ekspedisi sempena sambutan 100 tahun pengakap sedunia itu bagi memenuhi misi pengibaran bendera di puncak tertinggi di setiap negara ahli secara serentak sewaktu matahari mula terbit pada 1 Ogos.

Penolong Pesuruhjaya Pengakap Sabah (Bahagian Perhubungan), Mohd. Isa Satok berkata, kumpulan pendaki itu yang bertolak dari Laban Rata pada pukul 4 pagi ini bagaimanapun terpaksa meredah hujan renyai dan angin yang agak kencang semasa di puncak.

“Semuanya berjalan dengan baik dan aktiviti di puncak dapat dilakukan dengan selamat sehingga tamat. Kita lakukan ikrar, persetiaan janji pengakap dan pengibaran empat bendera.

“Pengibaran bendera dilakukan sewaktu matahari mula terbit yang dilakukan serentak di puncak tertinggi di setiap negara ahli di seluruh dunia,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Semalam, ekspedisi itu dimulakan dari Pintu Timpohon, Taman Negara Kinabalu pada pukul 11 pagi sebelum bermalam di Laban Rata pada ketinggian 3,662 meter.

Mohd. Isa berkata, sejurus menamatkan acara itu, semua peserta turun ke Pintu Timpohon untuk mengambil sijil pengesahan pada pukul 4 petang ini.

Beliau berkata, ekspedisi itu sepatutnya melibatkan beberapa peserta dari negara Asia lain tetapi pada saat-saat akhir terdapat halangan yang tidak dapat dielakkan.

Beliau memberitahu, peserta luar yang mengikuti ekspedisi berkenaan hanya dari Brunei dan yang lainnya datang dari seluruh negara ini.
 

Undi tidak percaya terhadap Ketua Pengakap Negara (UTUSAN)
PPD IT on 04/01/2008 at 12:49pm (UTC)
 Undi tidak percaya terhadap Ketua Pengakap Negara (Utusan)
KUALA LUMPUR 22 Mac - Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) yang mempunyai lebih 200,000 ahli bergolak apabila Ketua Pengakap Negara, Datuk Seri Dr. Shafie Salleh menerima undi tidak percaya daripada lapan penolong ketua pesuruhjaya pengakap dan 17 pesuruhjaya negeri.

Undi itu dibuat pada 3 Februari lalu, selepas mereka tidak berpuas hati dengan tindakan Shafie yang didakwa menyalahgunakan kuasa apabila melantik tiga orang Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap sedangkan jawatan itu tidak diperuntukkan dalam Perlembagaan PPM.

Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Profesor Datuk Kamarudin Kachar berkata, pihaknya telah menasihatkan Shafie mengenai perkara itu namun ia tidak dipedulikan.

"Kami tidak faham kenapa dia melantik tiga Timbalan Ketua Pesuruhjaya kerana pelantikan semua pesuruhjaya adalah dalam bidang tugas saya.

"Beliau langsung tidak berbincang dan berunding, perkara ini tidak pernah berlaku sebelum ini," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Shafie yang merupakan bekas Menteri Pengajian Tinggi dilantik sebagai Ketua Pengakap Negara pada Disember 2005.

Kamarudin mendakwa, lebih memburukkan keadaan, Shafie bagaikan membalas dendam terhadap pihak yang membuat undi tidak percaya apabila menggantung serta-merta tujuh pesuruhjaya pengakap kanan termasuk dirinya pada Isnin lalu.

Beliau bagaimanapun, berpendirian penggantungan itu tidak sah kerana ia di luar bidang kuasa Shafie.

"Kami sedih kerana beliau tidak menyatakan sebab pengantungan selain tidak memberi peluang untuk membuat penjelasan.

"Penggantungan sebegini tidak pernah berlaku dalam sejarah 100 tahun penubuhan pengakap. Kami merayu campur tangan kerajaan untuk tindakan seterusnya dan meminta Shafie berundur kerana tindakannya telah menjejaskan perpaduan pengakap," katanya.
 

Abdullah terima dua anugerah tertinggi (UTUSAN)
PPD IT on 04/01/2008 at 12:45pm (UTC)
 Abdullah terima dua anugerah tertinggi Indonesia
JAKARTA 21 Feb. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tiba di sini tengah hari ini bagi lawatan kerja dua hari termasuk menerima anugerah tertinggi Indonesia untuk pemimpin luar dan anugerah tertinggi pergerakan pramuka, iaitu pengakap Indonesia.

Anugerah tertinggi daripada pemerintah Indonesia itu, Bintang Republik Indonesia Adi Pradana merupakan anugerah tertinggi yang pertama kali diberikan kepada Perdana Menteri Malaysia.

Begitu juga anugerah pramuka Lencana Tunas Kencana yang merupakan yang tertinggi pernah diberikan kepada tokoh yang banyak berjasa kepada pergerakan pengakap.

Duta Besar Malaysia di Indonesia, Datuk Zainal Abidin Mohamed Zain berkata, Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono akan menyampaikan bintang Adi Pradana kepada Perdana Menteri pada satu majlis di Istana Merdeka di sini pagi esok.

“Bintang tertinggi ini belum pernah diberikan kepada mana-mana pun Perdana Menteri Malaysia sebelum ini... yang menerima (ialah) penganugerahan lain,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Zainal Abidin berkata, sebelum majlis penganugerahan itu, Abdullah akan melakukan kunjungan hormat ke atas Susilo di Istana Merdeka.

Selepas majlis itu, Abdullah akan ke Dewan Persidangan Birawara di Jalan Gatot Subroto di sini untuk menerima Lencana Tunas Kencana, yang akan turut dihadiri para pemimpin pengakap Malaysia dan pramuka Indonesia.

Sementara itu, Abdullah ketika berucap pada majlis pada majlis jamuan malam Pengakap Kelana Indonesia bersama Perdana Menteri, malam ini berkata, kerjasama Pengakap Malaysia dan Pramuka Indonesia telah memberi makna lebih mendalam dan memperkukuhkan lagi hubungan antara rakyat sempena 50 tahun terjalinnya hubungan diplomatik kedua-dua negara.

Menurut Perdana Menteri, beliau gembira pergerakan Pengakap dan Pramuka kini menjadi jambatan meningkatkan lagi hubungan sesama rakyat yang telah menjalin hubungan diplomat sebaik sahaja Malaysia mencapai kemerdekaan.

``Jambatan ini ialah jambatan persahabatan yang diwujudkan oleh Pengakap dan Pramuka,’’ katanya disambut tepukan gemuruh lebih 300 anggota pengakap.

Pada majlis itu, Abdullah yang juga Presiden Agung Pengakap Malaysia merasmikan penubuhan Pengakap
 

Solidariti pengakap ASEAN (UTUSAN)
PPD IT on 04/01/2008 at 12:44pm (UTC)
 Solidariti pengakap ASEAN

Oleh NORAINI ABDUL RAZAK (WARTAWAN UTUSAN)

SEBUT sahaja pengakap, ramai kalangan kita akan terbayang zaman kanak-kanak. Bagi kita pengakap hanya sebuah persatuan kecil yang selayaknya untuk murid-murid sekolah rendah.

Mungkin agak janggal jika kita melihat orang dewasa terutama yang berusia lebih 50 tahun menyarung pakaian seragam pengakap.

Namun sesuai dengan sejarah pengakap yang menjangkau usia 100 tahun, peranan pasukan beruniform itu hakikatnya amat luas merentasi sempadan. Malah fungsinya tidak terbatas sekadar belajar cara memasang khemah, memasak atau mengelilingi unggun api.

Pergerakan pengakap yang tersebar luas di serata dunia amat pelbagai peranannya - melakukan kerja-kerja kebajikan, meningkatkan ekonomi penduduk setempat malah menggerakkan penyebaran dakwah.

Di peringkat serantau, pengakap turut berperanan sebagai pengikat hubungan antara negara malah tahun-tahun kebelakangan ini menyaksikan hubungan dua hala pengakap di negara-negara ASEAN terjalin erat.

Sehingga kini terdapat kira-kira lima juta pengakap berdaftar di Brunei, Filipina, Indonesia, Malaysia, Singapura, Thailand dan Kemboja. Malah usaha menghidupkan kembali pergerakan pengakap di negara seperti Myanmar sedang rancak dilakukan sejajar dengan kesedaran di pihak pemimpin tentang pentingnya peranan pergerakan itu.

Justeru sumbangan serta peranan pengakap sebagai salah satu cara untuk memperkasa dan memperkukuhkan hubungan serantau sama sekali tidak boleh diperkecilkan.

Di Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dianugerahkan gelaran Presiden Agung Kehormat Persekutuan Pengakap Malaysia oleh Persekutuan Pengakap Malaysia dan bertindak sebagai penaung. Gelaran tertinggi Ketua Majelis Pembimbing Nasional Gerakan Pramuka, Indonesia dianugerahkan kepada Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.

Ketika berlangsungnya majlis anugerah bintang tertinggi itu tahun lalu, kedua-dua pemimpin melahirkan hasrat untuk mewujudkan solidariti menerusi kepengakapan di kalangan negara ASEAN.

Oleh itu pengakap mesti dilihat sebagai satu aktiviti yang relevan dengan dunia semasa dan mempunyai daya tarikan tersendiri di kalangan remaja. Solidariti melalui kepengakapan menggalakkan dan meningkatkan kefahaman dan kerjasama selain memelihara persahabatan serta ukhuwah di kalangan ahli di negara-negara yang berbeza berasaskan kepada peraturan serta aku janji.

Menganjurkan

Menyedari hakikat itu Malaysia mengorak inisiatif menganjurkan Persidangan Pengakap ASEAN iaitu yang pertama seumpamanya baru-baru ini.

Ketua Pengakap Malaysia, Datuk Seri Dr. Shafie Salleh berkata, solidariti menerusi kepengakapan di rantau ASEAN telah bermula sejak lama dulu iaitu semenjak Mesyuarat Timur Jauh berlangsung di Kuala Lumpur pada tahun 1964. Katanya, sejak itu pengakap ASEAN telah bekerjasama dalam banyak aktiviti termasuk jambori, seminar, persidangan, bengkel, forum remaja, program pembangunan masyarakat, pembangunan modal insan dan kerjasama latihan.

‘‘Kesemuanya ini berjalan lancar menerusi kerjasama erat di antara persekutuan pengakap di negara-negara yang terlibat terutama di peringkat serantau,’’ katanya ketika berucap merasmikan persidangan tersebut baru-baru ini.

Menurut Shafie, kempen Satu Wawasan, Satu Identiti, Satu Komuniti menggambarkan usaha tanpa mengenal sempadan dalam memerangi isu-isu utama ekonomi dan sosial serta menggalakkan nilai-nilai sejagat dan meningkatkan usaha sedaya mungkin.

Beliau menarik perhatian mengenai ukuran kejayaan sesebuah negara yang amat bergantung kepada peranan remaja dan ia boleh direalisasikan menerusi penglibatan pengakap dalam program pembangunan negara.

‘‘Proses penyuburan remaja secara berterusan semestinya akan membantu golongan tersebut menjadi kumpulan berguna dalam masyarakat, membangunkan modal insan serta mencorakkan mentaliti kelas pertama,’’ katanya.

Di akhir persidangan tiga hari yang dihadiri oleh ketua-ketua pengakap Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand itu satu deklarasi dikeluarkan bagi membuktikan komitmen pergerakan pengakap serantau.

Deklarasi enam perkara itu antara lain meningkatkan semangat kerjasama, perpaduan, ukhuwah dan solidariti dalam kepengakapan ASEAN. Ia akan dilaksanakan menerusi kerjasama erat di peringkat negara terutama dalam menyelaraskan usaha serta program untuk faedah bersama.

Deklarasi berkenaan turut menyatakan sokongan serta galakan pelbagai hala yang diusahakan oleh negara-negara anggota ASEAN dan melaksanakannya sebagai projek ASEAN apabila berpeluang berbuat demikian.

Selain itu, pergerakan pengakap menggesa sokongan padu kerajaan untuk menyelaraskan aktiviti serantau dalam konteks ASEAN dan menjamin penyertaan aktif sekretariat ASEAN untuk mencapai objektif pergerakan itu.

 

<- Back  1  2  3 

Continue->

 
   
 
This website was created for free with Own-Free-Website.com. Would you also like to have your own website?
Sign up for free