Pengakap Lahad Datu
  Berita l News
 

Bekas guru cerita kisah PM
Oleh SAHBULAH DARWI(UTUSAN) on 04/21/2008 at 6:36am (UTC)
 Bekas guru cerita kisah PM
Oleh SAHBULAH DARWI

BUKIT MERTAJAM 15 Mei – Bekas guru bahasa Inggeris dan Pengakap Perdana Menteri, Ng Soo Chye, 76, sentiasa terkenang sikap dan nilai murni yang dimiliki oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semasa menjadi pelajarnya sekitar tahun 1950-an.

Soo Chye memberitahu, sikap dan nilai tersebut terutamanya berdisiplin tinggi, berakhlak mulia dan mementingkan perpaduan antara kaum perlu dicontohi oleh bukan sahaja pelajar malah guru-guru zaman ini.

“Sikap beliau sebagai seorang pelajar yang bijak, berdisiplin, sopan santun, berkepimpinan, merendah diri, taat, dedikasi, toleransi dan mudah bergaul dengan pelbagai kaum cukup ketara sehingga menjadikannya dihormati oleh semua orang,” katanya kepada Utusan Malaysia sempena sambutan Hari Guru 2007, ketika ditemui di rumahnya di Machang Bubok di sini, hari ini.

Soo Chye menjadi guru kepada Perdana Menteri di antara tahun 1953 hingga 1957 di Sekolah Tinggi Bukit Mertajam di sini dan beliau merupakan satu-satunya guru mata pelajaran itu yang masih hidup.

Menurutnya, disebabkan sikap dan nilai tersebut, Abdullah selaku ketua pengakap menjadi pemimpin yang dihormati dan mendapat kerjasama daripada semua pihak.

“Saya masih ingat suatu ketika kami mengadakan program perkhemahan di Teluk Bahang, beliau selaku ketua cukup bijak membahagikan tugas dengan pantas kepada ahli kumpulan dan hasilnya semua berjalan dengan lancar,” jelasnya.

Soo Chye memberitahu, walaupun kualiti yang dimiliki oleh Perdana Menteri tidak hanya dibentuk di sekolah, sebaliknya oleh pelbagai faktor, namun adalah menjadi cabaran kepada guru-guru zaman ini untuk melahirkan pelajar seperti Abdullah.

“Walaupun zaman kini jauh berbeza berbanding zaman dahulu, namun matlamat seorang guru untuk mendidik pelajar menjadi seorang yang berguna kepada agama, bangsa dan negara tetap sama,” jelasnya.

Justeru, beliau berkata, guru-guru perlu melahirkan lebih banyak pelajar yang mempunyai kualiti seperti Perdana Menteri untuk generasi akan datang.

“Saya berbangga kerana pernah menjadi sebahagian daripada hidup Perdana Menteri dan menjadi harapan saya juga supaya generasi kini juga mencontohi kualiti yang ada pada diri beliau,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sungguhpun guru-guru zaman ini mempunyai pelbagai kemudahan, namun mereka memikul tanggungjawab yang lebih mencabar berbanding zaman dahulu.

“Zaman dahulu, kalau pelajar kena rotan sekali di sekolah, maka ibu bapa akan tambah satu kali rotan lagi di rumah tetapi zaman sekarang kalau pelajar kena rotan maka ibu bapa akan saman guru,” katanya.

Bagi beliau, semangat perpaduan di kalangan pelajar berbilang kaum dan disiplin perlu diperkukuhkan lagi zaman ini menerusi persatuan dan aktiviti di sekolah.
 

Solidariti pengakap ASEAN
Oleh NORAINI ABDUL RAZAK (WARTAWAN UTUSAN) on 04/21/2008 at 6:32am (UTC)
 Solidariti pengakap ASEAN
Oleh NORAINI ABDUL RAZAK (WARTAWAN UTUSAN)

SEBUT sahaja pengakap, ramai kalangan kita akan terbayang zaman kanak-kanak. Bagi kita pengakap hanya sebuah persatuan kecil yang selayaknya untuk murid-murid sekolah rendah.

Mungkin agak janggal jika kita melihat orang dewasa terutama yang berusia lebih 50 tahun menyarung pakaian seragam pengakap.

Namun sesuai dengan sejarah pengakap yang menjangkau usia 100 tahun, peranan pasukan beruniform itu hakikatnya amat luas merentasi sempadan. Malah fungsinya tidak terbatas sekadar belajar cara memasang khemah, memasak atau mengelilingi unggun api.

Pergerakan pengakap yang tersebar luas di serata dunia amat pelbagai peranannya - melakukan kerja-kerja kebajikan, meningkatkan ekonomi penduduk setempat malah menggerakkan penyebaran dakwah.

Di peringkat serantau, pengakap turut berperanan sebagai pengikat hubungan antara negara malah tahun-tahun kebelakangan ini menyaksikan hubungan dua hala pengakap di negara-negara ASEAN terjalin erat.

Sehingga kini terdapat kira-kira lima juta pengakap berdaftar di Brunei, Filipina, Indonesia, Malaysia, Singapura, Thailand dan Kemboja. Malah usaha menghidupkan kembali pergerakan pengakap di negara seperti Myanmar sedang rancak dilakukan sejajar dengan kesedaran di pihak pemimpin tentang pentingnya peranan pergerakan itu.

Justeru sumbangan serta peranan pengakap sebagai salah satu cara untuk memperkasa dan memperkukuhkan hubungan serantau sama sekali tidak boleh diperkecilkan.

Di Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dianugerahkan gelaran Presiden Agung Kehormat Persekutuan Pengakap Malaysia oleh Persekutuan Pengakap Malaysia dan bertindak sebagai penaung. Gelaran tertinggi Ketua Majelis Pembimbing Nasional Gerakan Pramuka, Indonesia dianugerahkan kepada Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.

Ketika berlangsungnya majlis anugerah bintang tertinggi itu tahun lalu, kedua-dua pemimpin melahirkan hasrat untuk mewujudkan solidariti menerusi kepengakapan di kalangan negara ASEAN.

Oleh itu pengakap mesti dilihat sebagai satu aktiviti yang relevan dengan dunia semasa dan mempunyai daya tarikan tersendiri di kalangan remaja. Solidariti melalui kepengakapan menggalakkan dan meningkatkan kefahaman dan kerjasama selain memelihara persahabatan serta ukhuwah di kalangan ahli di negara-negara yang berbeza berasaskan kepada peraturan serta aku janji.

Menganjurkan

Menyedari hakikat itu Malaysia mengorak inisiatif menganjurkan Persidangan Pengakap ASEAN iaitu yang pertama seumpamanya baru-baru ini.

Ketua Pengakap Malaysia, Datuk Seri Dr. Shafie Salleh berkata, solidariti menerusi kepengakapan di rantau ASEAN telah bermula sejak lama dulu iaitu semenjak Mesyuarat Timur Jauh berlangsung di Kuala Lumpur pada tahun 1964. Katanya, sejak itu pengakap ASEAN telah bekerjasama dalam banyak aktiviti termasuk jambori, seminar, persidangan, bengkel, forum remaja, program pembangunan masyarakat, pembangunan modal insan dan kerjasama latihan.

‘‘Kesemuanya ini berjalan lancar menerusi kerjasama erat di antara persekutuan pengakap di negara-negara yang terlibat terutama di peringkat serantau,’’ katanya ketika berucap merasmikan persidangan tersebut baru-baru ini.

Menurut Shafie, kempen Satu Wawasan, Satu Identiti, Satu Komuniti menggambarkan usaha tanpa mengenal sempadan dalam memerangi isu-isu utama ekonomi dan sosial serta menggalakkan nilai-nilai sejagat dan meningkatkan usaha sedaya mungkin.

Beliau menarik perhatian mengenai ukuran kejayaan sesebuah negara yang amat bergantung kepada peranan remaja dan ia boleh direalisasikan menerusi penglibatan pengakap dalam program pembangunan negara.

‘‘Proses penyuburan remaja secara berterusan semestinya akan membantu golongan tersebut menjadi kumpulan berguna dalam masyarakat, membangunkan modal insan serta mencorakkan mentaliti kelas pertama,’’ katanya.

Di akhir persidangan tiga hari yang dihadiri oleh ketua-ketua pengakap Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand itu satu deklarasi dikeluarkan bagi membuktikan komitmen pergerakan pengakap serantau.

Deklarasi enam perkara itu antara lain meningkatkan semangat kerjasama, perpaduan, ukhuwah dan solidariti dalam kepengakapan ASEAN. Ia akan dilaksanakan menerusi kerjasama erat di peringkat negara terutama dalam menyelaraskan usaha serta program untuk faedah bersama.

Deklarasi berkenaan turut menyatakan sokongan serta galakan pelbagai hala yang diusahakan oleh negara-negara anggota ASEAN dan melaksanakannya sebagai projek ASEAN apabila berpeluang berbuat demikian.

Selain itu, pergerakan pengakap menggesa sokongan padu kerajaan untuk menyelaraskan aktiviti serantau dalam konteks ASEAN dan menjamin penyertaan aktif sekretariat ASEAN untuk mencapai objektif pergerakan itu.
 

Isu pengakap... terus mendapat perhatian (UTUSAN)
PPD IT on 04/01/2008 at 12:57pm (UTC)
 Isu pengakap... terus mendapat perhatian
Beliau telah membuat satu penganalisaan ringkas terhadap pergerakan ini selama 91 tahun kewujudannya yang juga saya kira merupakan penilaian yang amat adil serta munasabah.

Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Dr. Mohd. Nordin yang telah mengupas satu demi satu masalah dan isu yang sedang dihadapi oleh pergerakan pengakap tanah air.

Di samping pandangannya yang saksama, tidak terkecuali juga ia mampu membuat taksiran yang tepat. Saya percaya beliau adalah seorang sumber dewasa yang amat rapat dengan pengakap serta amat memahami hati-nuraninya.

Secara seimbang pandang penulisan ini memaparkan maju mundurnya Persatuan Pengakap Malaysia (PPM) berdasarkan kepada tiga faktor utama yang dijadikan sebagai 'kayu pengukur'. Pertama, faktor bilangan ahli, iaitu dengan membandingkan perangkaan masa kini dengan bilangan anak-anak pengakap di sekitar dekad-dekad 60-an hingga 80-an.

Saya kira kemasukan dekad 80-an yang juga agak kurang tepat kerana pada masa ini sudah ada aliran semasa yang menurun.

Kedua, faktor penyertaan dan daya usaha pengakap negara Malaysia dalam temasya jambori atau kempori, sama ada di peringkat negeri, negara ataupun antarabangsa, dan ketiga, faktor sumber kewangan yang saya kira faktor terpenting.

Bilangan ahli-ahli pengakap dalam sejarah perkembangan merupakan satu variabel yang tidak tepat, ia turun naik bagaikan pasang surut air di laut dari semasa ke semasa. Namun begitu kuantiti keahlian tidak mudah kita nafikan sebagai satu faktor penentu dalam pencapaian atau prestasi pengakap.

Seperti kata Dr. Nordin, ahli yang ramai dapat membantu, menambahkan sumber pendapatan pengakap dan ini saya bersetuju seratus peratus, tetapi pada hemat saya untuk tidak adil lagi kita perlu juga melihat isu keahlian ini dalam perspektif yang lebih luas. Maksudnya, selain kuantiti, mengapa tidak lihat juga isi keahlian dari sudut kualiti seperti kata orang small but beautiful.

Memandangkan terlalu banyak sangat bilangan persatuan sukarela yang beroperasi di sekolah pada masa kini, mengapa tidak kita 'berpuas hati' sahaja dengan bilangan ahli yang kecil tetapi berkualiti tinggi?.

Mereka cergas, aktif, proaktif, dinamik dan bukannya domain, walaupun alternatif ini boleh menjejaskan sumber pendapatan pengakap, tetapi saya berpendapat bahawa kita jangan terlampau sangat bergantung kepada yuran keahlian.

Bercakap tentang yuran keahlian pengakap yang dibayar setahun sekali juga tidak sunyi daripada kerenahnya. Seorang 'budak pengakap' membayar RM2 setahun, di mana tiap-tiap satu d antara pusat dan negeri masing-masing diagihkan RM1.

Manakala para pemimpin pengakap membayar RM5 setahun yang kesemuanya dibayar kepada ibu pejabat pengakap. Di mana letaknya 'kerenah'?

Ini sebenarnya berpusat di sekitar ketidakjujuran setengah-setengah daripada pemimpin pengakap di peringkat negeri (dan mungkin daerah tetapi bukanlah semua).

Terdapat pihak-pihak tertentu di peringkat negeri yang tidak menghebahkan dengan betul angka keahlian pengakap yang mendaftar di daerah dan di negeri.

Ibu pejabat pengakap tidak boleh berbuat apa-apa selain menyerahkan bulat-bulat kepada 'kejujuran' di pihak negeri sebab keahlian adalah di bawah domain negeri.

Ada negeri yang 'tamak' dan sengaja tidak menyatakan bilangan keahlian yang sebenar tetapi mengemukakan jumlah bilangan yang lebih kecil daripada angka yang sebenar.

Tujuannya adalah jelas iaitu mengelakkan daripada membayar lebih kepada ibu pejabat.

Dengan cara ini, bilangan keahlian yang tidak dihebahkan itu, bererti kesemua RM2 yang dipungut dari setiap ahli itu keseluruhannya dapat kepada negeri.

Ibu pejabat pengakap mendapat RM1 hanya daripada bilangan ahli yang dihebah secara rasmi.

Walaupun ibu pejabat pengakap dapat mengesan dan tindakan boleh diambil tetapi kita lebih gemar berurusan dengan berpaksikan 'semangat kepengakapan' iaitu jujur, ikhlas dan amanah.

Jika kualiti ini kita korbankan, lebih-lebih lagi di kalangan pemimpin-pemimpin pengakap, mereka itu bukan 'pengakap' namanya - tepuk dada tanya selera.

Kedua, dalam keadaan sekarang yuran keahlian yang dikenakan RM2 setahun itu adalah terlalu rendah tetapi untuk menaikkannya bukanlah sesuatu yang mudah -banyak pihak yang terlibat akan membantah.

Isu lain boleh 'diusik-usik' tetapi isu kewangan terlalu sensitif.

Karenah yang paling serius ialah bayaran tahunan yang dikenakan oleh World Scout Bureau (WOSM) di Geneva ke atas PPM yang kadarnya juga berdasarkan kepada bilangan ahli dan gred kumpulan negara.

Bayaran yuran keahlian sebagai ahli WOSM bagi jangka masa 1997/1998 umpamanya, adalah hampir 27,000 swiss franc.

Inilah dilemanya dan jika kita ingkar membayar, maka kita akan dipecat daripada badan dunia ini sebab pergerakan pengakap sedunia beroperasi sama seperti bangsa-bangsa bersatu dan UNESCO.

Mahu atau tidak, PPM terpaksa mengorbankan sebahagian besar pendapatannya yang tidak diketahui apa sebenar faedahnya.

Jika penyertaan jambori atau kempori sama ada di peringkat kebangsaan atau antarabangsa dijadikan juga sebagai satu kayu pengukur, maka ini pun saya rasa boleh dibincangkan lagi.

Bertolak daripada premis bahawa ilmu dan kegiatan berpengakap itu amat luas yang merentasi sempadan daerah, negeri, negara rantau dan antarabangsa, maka adalah agak kurang wajar jika kecergasan PPM dinilai hanya berdasarkan penyertaan atau penglibatan ahli-ahlinya di dalam aktiviti-aktiviti yang disebut tadi.

Dengan kata lain, pengakapan bukanlah senama dengan kegiatan berjambori atau berkempori sahaja- ada banyak komponen lagi yang menggabungkan persekutuan pengakap itu. - Dr. Abdul Rahman adalah Pemangku Ketua Setiausaha, Persekutuan Pengakap Malaysia
 

Berpengakap aktiviti sepanjang hayat (UTUSAN)
PPD IT on 04/01/2008 at 12:56pm (UTC)
 Berpengakap aktiviti sepanjang hayat
TULISAN saya mengenai Pengakap (27 Januari 2000) mendapat reaksi dan jawapan balas dari Ibu Pejabat Pengakap Malaysia, khususnya Pemangku Ketua Setiausaha, Persekutuan Pengakap Malaysia, Dr. Abdul Rahman Mat dengan 2 siri rencananya 21 dan 22 Februari 2000 lalu, maka seolah-olah merimbahkan sedikit bias buih.

Memang itulah yang saya harapkan kerana selama ini Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) menyepi, tidak ada rembah rempah informasi yang dapat dimaklum pembaca, khususnya ibu bapa.

Penulis merakamkan setinggi terima kasih kepada Ruangan Pendidikan Utusan Malaysia yang telah memberikan ruang yang amat berharga dan dapat menjadi pengetahuan pembaca, khusus ibu bapa yang merelakan anak mereka berpengakap.

Bertepatan pula tersiarnya rencana Dr. Abdul Rahman Mat pada hari dan Minggu Pengakap Sedunia.

Selama ini (22 Februari) ramai yang tidak tahu bahawa pengakap pun ada harinya sendiri yang diiktiraf dunia.

Terima kasih juga kepada editor UM kerana menyiarkan riwayat Lord Baden Powell (BP), pengasas Pergerakan Pengakap Sedunia (Isnin 28 Februari) di sudut Keterampilan.

Mulanya saya fikir jawapan Dr. Abdul Rahman Mat itu merupakan balas kritik atau pertahanan diri, tetapi nampaknya imbang.

Ada sifat menerima teguran, ada sifat sindir neracanya.

Barangkali saya kurang arif mentafsir kalimat ayat Dr. Abdul Rahman melalui rencana bahagian akhir (22 Februari) paragraf 16: 'Tetapi yang lebih buruk lagi terdapat satu dua orang dalaman yang mengambil kesempatan dengan menangguk di air keruh dari pemimpin yang sudahpun lemah'.

Jadi, rembah buih dari rencana saya itu memberi kesan saksama.

Tepat sekali harapannya; kalau Dr. Abdul Rahman sudah tahu dalaman tersedia pemimpin ada yang lemah, segeralah pulihkan kelemahannya atau digantikan yang lain, lebih bertenaga.

Saya juga berterima kasih atas sokongan surat-surat yang dikirim oleh teman-teman lama pesara pengakap.

Malah saya menerima juga surat-surat dari pemimpin Pengakap Negara Brunei dan Pramuka Indonesia yang ingin tahu lanjutan persoalan pengakap di Malaysia kini.

Kerana itu, Ibu Pejabat Pengakap Malaysia harus bertindak segera mengatasi kelemahan yang ada sekarang.

Pertama-tama, segerakan pelantikan Ketua Pengakap Negara yang baru.

Bagi saya memang sudah terlalu lama PPM 'kehilangan ketuanya' yang berwibawa.

Kaji selidik dan temu ramah saya dengan pemimpin-pemimpin pengakap negeri-negeri, rata-rata mereka mahukan seorang ketua pengakap yang benar-benar mengambil berat tentang pengakap, tidak pada nama, tidak sekadar mempengerusikan sekali dua dalam setahun mesyuarat majlis peringkat nasional sahaja.

Dasar Pertubuhan dan Peraturan (POR) Pengakap no. 38 yang diluluskan Parlimen 1968 mengenai Perkara 7 (1) sudah tidak sesuai lagi di alaf baru tahun 2000 ini.

Ahli majlis: Perkara 6 (1) dan (2) boleh melakukan pemilihan yang sesuai, tepat dan jitu.

Kalau selama hampir 100 tahun Pengakap Malaysia (dulu Malaya) mengamalkan peraturan pada Perkara 7 (1), mengapa tidak saya cadangkan agar dilakukan perubahan.

Untuk tahun 2000 (paling tidak sehingga 2020) ditukar cadang: Dari seorang menteri kepada sesiapa saja yang dapat memajukan pergerakan pengakap di Malaysia.

Mungkin kini seorang ahli korporat yang semasa remajanya seorang pengakap yang aktif.

Bagi saya selagi kita berpegang kepada POR yang sudah usang itu, selagi itulah pengakap Malaysia berada di takuk lama juga.

Saya berbangga melihat perkembangan Pandu Puteri Malaysia walaupun ia ditubuhkan di Malaysia terkemudian 7 tahun dari pengakap.

Pandu puteri lebih ke hadapan kini. Daripada kajian yang dilakukan oleh penulis tentang sejarah Pandu Puteri, pertubuhan ini ditubuhkan pada tahun 1916 yang merupakan kumpulan pertama diwujudkan oleh YMCA di Kuala Lumpur.

Saya juga berbangga melihat dan menyaksikan perkembangan dan aktiviti pengakap Negeri Kelantan.

Bukan saja pengurusan pentadbiran yang teratur tetapi lengkap segala keperluan sebagai organisasi sukarela yang tertua yang mengikut sejarahnya ditubuhkan pada tahun 1928.

Ketika melawat teman-teman di Kem Kijang, Kota Bharu, pengakap Kelantan kini sudah memperlengkap dokumentasi mereka dengan menubuhkan Muzium Pengakap.

Pasti sahaja usaha ini mengatasi negeri lain malah ibu pejabat pengakap itu sendiri.

Keterampilan sesebuah organisasi dan menjadi terus tersohor adalah melalui media dan penyebar maklumatnya sendiri.

Pengakap Kelantan kini mempunyai Buletin Pengakap sebagai penyampai maklumat kepada ahli-ahlinya sedangkan ibu pejabat sendiri tidak.

Barangkali pernah diusahakan penerbitannya beberapa tahun dahulu, telah terhenti di pertengahan jalan.

Mengapa? Hal-hal dalaman biasanya menjadi rahsia.

Media untuk ahli pengakap sendiri amat perlu.

Takkan pengakap mahu sentiasa mengemis meminta belas ihsan editor akhbar harian untuk menyiarkan berita aktiviti pengakap.

Ilmu kepengakapan mengajarkan: Tidak meminta-minta, harus berdikari.

Sesekali meminta penyiaran pasti boleh, itupun untuk yang bertaraf nasional.

Aktiviti daerah dan peringkat sekolah, pastikan ada penampungan khusus terbitan ibu pejabat pengakap.

Negeri-negeri juga dicadangkan menerbitkan media sendiri mencontohi Pengakap Kelantan.

Saya fikir Pengakap Malaysia boleh bekerjasama dengan Pandu Puteri Malaysia menerbitkan penerbitan bersama.

BP yang menubuhkan Pengakap dan Pandu Puteri (melalui isteri mendiang Lady Baden-Powell) satu tujuan.

Hanya di Malaysia Pengakap dan Pandu Puteri berlainan pentadbiran tetapi di Indonesia dan Thailand adalah sama.

Dalam kurikulum latihan pengakap dan Pandu Puteri diajarkan kerja berkumpulan, mengembang dan mencerna idea bersama serta membuat aktiviti termasuk mendirikan khemah dan memasak digalakkan bersama.

Ibu bapa yang anak mereka memilih menyertai pengakap/pandu puteri haruslah dirangsang, digalakkan dan dibantu keperluannya.

Nilai buktinya bukan sekarang tetapi setelah mereka dewasa dan berkeluarga nanti.

DR. HAJI MOHD NORDIN ABDUL RAHMAN, KUALA LUMPUR.
 

450 pengakap remaja Sweden berkampung di Pahang (UTUSAN)
PPD IT on 04/01/2008 at 12:55pm (UTC)
 450 pengakap remaja Sweden berkampung di Pahang
SERAMAI 450 pengakap remaja dari Sweden melawat Jengka dan Taman Negara Kuala Tahan, Pahang, baru-baru ini.

Program homestay anjuran Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) itu dirasmikan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Pada program itu, kesemua pengakap remaja berkenaan telah diserahkan kepada 90 buah keluarga angkat.

Ketua Pesuruhjaya Pengakap Malaysia, Datuk Hamidin Abdullah berkata, kontinjen pengakap Sweden itu singgah di negara ini sebelum ke Thailand pada 25 Disember lalu.

Kunjungan mereka ke Thailand adalah untuk menyertai Jamboree Pengakap Sedunia di Kem Vajiravuth Satthahip, berdekatan Pattaya, Thailand.

Menurut Hamidin, pengakap remaja Sweden menginap bersama keluarga angkat Melayu di sekitar Bandar Pusat Jengka dan tanah rancangan Felda Jengka selama empat hari.

``Lawatan ke Jengka dan Taman Negara Kuala Tahan membuktikan pelawat luar negara yakin dengan keamanan dan kemakmuran Malaysia,'' katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Program Homestay Pengakap Sweden di Tekam Plantation Resorts, Jerantut, Pahang.

Pengakap remaja itu dibahagikan kepada 10 kumpulan.

Mereka turut dibawa melawat Taman Negara Pahang untuk menikmati keindahan dan keunikan flora dan fauna di sekitar Kuala Tahan.

``Keseluruhan program berjalan lancar dan pengakap remaja Sweden berpuas hati dengan layanan yang diterima daripada keluarga angkat masing-masing,'' katanya. Ñ HARIS FADILAH AHMAD
 

Pengakap mesti ada sikap kasih sayang – PM (UTUSAN)
PPD IT on 04/01/2008 at 12:54pm (UTC)
 Pengakap mesti ada sikap kasih sayang – PM
Oleh ROSNI HASSAN dan AZMAN IBRAHIM

MELAKA 20 Nov. – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, untuk menjadi ahli pengakap terbaik dan bersedia membantu orang yang memerlukan bantuan, mereka mesti mempunyai perasaan kasih sayang dan semangat untuk berkhidmat dengan rela hati.

Beliau yang juga Presiden Agung Kehormat Persekutuan Pengakap Malaysia berkata, kasih sayang adalah perasaan yang sangat baik malah ia diutamakan dalam ajaran agama, justeru ia wajar tersemat dalam jiwa setiap ahli pengakap.

‘‘Kita perlu menghayati nilai kasih sayang, jika ada nilai kasih sayang, insya-Allah perpaduan sesama kita dan dalam masyarakat juga akan teguh.

‘‘Perasaan ini tidak mengenal batasan agama dan bangsa,” katanya ketika berucap pada Majlis Penganugerahan Bintang dan Pingat Persekutuan Pengakap Malaysia peringkat kebangsaan di Dewan Seri Negeri di sini, hari ini.

Pada majlis tersebut, seramai 302 orang tokoh, pemimpin pengakap dan orang perseorangan yang telah memberi khidmat terbaik secara berterusan dalam pembangunan pengakap di negara ini, dianugerahkan bintang dan pingat.

Seramai lima orang dianugerahkan Bintang Semangat Padi Kelas Pertama (Emas) iaitu bintang tertinggi dalam pengakap.

Mereka ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Kol. Profesor Datuk Kamarudin Kachar, Pesuruhjaya Latihan Negara, Yeoh Seng Choon, bekas Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Datuk Hamidin Abdullah dan bekas Naib Yang Dipertua Majlis Pengakap Malaysia, Tan Sri Elyas Omar.

Najib dan Elyas akan menerima anugerah masing-masing pada satu majlis yang ditetapkan kemudian.

Abdullah berkata, dengan adanya perasaan kasih sayang itu, pengakap akan dapat menunjukkan erti kasih sayang serta sikap rela hati untuk membantu penduduk berbilang kaum di negara ini.

Beliau menambah, jika perasaan itu menjadi pegangan ahli pengakap, ia dapat mendorong mereka untuk berkhidmat dan membantu masyarakat yang memerlukan bantuan.

‘‘Jika ini menjadi nilai pegangan kita, jika ini juga menjadi pendorong yang kuat bagi kita setiap hari apabila kita melaksanakan kerja bukan sahaja semasa memakai uniform pengakap tetapi bila-bila masa tanpa uniform pengakap tetap jiwa pengakap dan bangsa, kita akan menjadi bangsa yang bersatu padu,” katanya.

Perdana Menteri menarik perhatian, beliau memahami perasaan serta tugas ahli pengakap kerana beliau juga pernah menjadi ahli pengakap.

Sehubungan itu beliau mengingatkan mereka bahawa pingat dan bintang yang diterima hari ini bukan sekadar hiasan di dada untuk nampak lebih segak dan elok.

Sebaliknya jelas Abdullah, penghargaan yang diterima itu mempunyai falsafah di sebaliknya dengan pingat dan bintang diberi atas penghargaan kepada semua pengakap yang telah menunjukkan kecemerlangan.

‘‘Pengakap mengutamakan pembentukan sahsiah dan peribadi mulia, mengutamakan keinginan membina semangat bekerja untuk negara, bangsa dan rakyat dengan penuh kefahaman bahawa apa yang dilakukan itu semata-mata berasaskan sukarela,” katanya.

Sejajar itu, kata beliau, apabila ada masa tertentu yang memerlukan bantuan dan kerjasama badan bukan kerajaan, pengakap tidak pernah ketinggalan untuk menghulurkan khidmat.
 

<- Back  1  2  3 Continue -> 
 
   
 
This website was created for free with Own-Free-Website.com. Would you also like to have your own website?
Sign up for free